Assalammualaikum WBT...

Dalam hidup ini kita pasti ingin menjadi yang sempurna dalam segala aspek. Namun tidak semudah itu tanpa melalui pelbagai cabaran, ujian dan kekentalan semangat. Bahkan pasti ada kesilapan yang sering kita lakukan sebagai hambaNya biasa. Apapun jadikan kesilapan lalu sebagai pemangkin untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik. Sesekali pandanglah ke belakang, di samping luaskan pandangan ke hadapan, yakini diri, usaha dan tawakal..In Shaa Allah menjadikan kita berjaya. Redha setiap ketentuanNya menjadikan kita sentiasa berlapang dada.

Diinspirasikan juga blog ini dengan koleksi2 petikan facebook dan blog yang lain dengan info yang bermanfaat sekadar untuk rujukan diri sendiri...

Wednesday, June 29, 2011

Rezeki ada di mana-mana


Kalau difikir-fikir, orang kat kampung lebih berduit daripada orang kat bandar. Percaya tak. Sebabnya di kampung, kita tidak perlu berhabis duit nak beli sayur ke, ikan ke, atau buah-buahan. Tak ada istilah kebulur punya. Tu..tanah belakang rumah yang luas terbentang, kalau rajin diusahakan boleh buat ladang komersial. Kalau tak mampu buat komersial pun, boleh buat kebun sayur untuk kegunaan sendiri. Laut yang terbentang luas di hujung kampung tu, banyak isi alam tu. Sotong, ikan, kerang, udang dan ketam. Semuanya ada di situ. Pokok pangkalnya kena rajin.




Belia-belia dekat kampung tu tak payahlah pening-peningkan kepala nak cari kerja kat bandar. Kadang-kala tu sampai ada yang sanggup jadi penganggur terhormat kerana setia menanti tawaran kerja yang agak glamour di bandar berbanding kerja kampung.




Kalau kita tengok pada masa kini, sudah ramai graduan-graduan universiti yang mengusahakan ladang komersial dan pendapatan mereka juga sangat lumayan. Malahan ada juga daripada golongan kakitangan sektor awam dan swasta yang berpangkat besar sanggup melepaskan kerjaya makan gaji untuk terjun ke bidang keusahawanan ladang komersial kerana tertarik dengan pulangan tersebut. Mereka boleh dijadikan sebagai inspirasi yang baik kepada golongan belia. Apa yang penting adalah keazaman dan berbekalkan  usaha yang gigih di samping merebut peluang menimba ilmu dan kepakaran melalui kursus yang dianjurkan oleh agensi-agensi kerajaan mahupun swasta.

Rezeki itu ada di mana-mana...

Rasulullah SAW bersabda:



"Kalau engkau bertawakal kepada Allah SAW dengan sesungguhnya, tentulah Dia memberikan rezeki sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang waktu pagi berlapar dan waktu petang dalam keadaan kenyang"


Thursday, June 23, 2011

Tenangkan diri dengan doa

Kita tidak pernah lari daripada sebarang masalah mahupun musibah. Hidup itu ibarat putaran roda. kadang senang, kadang susah. Tenangkanlah hati dengan berdoa dan banyakkan mengingatiNya, insyaAllah jiwa semakin tenang.

Dirawikan daripada Nabi SAW, sesungguhnya baginda bersabda, "Allah telah berkata:

"Barangsiapa ditimpa bencana lalu dia mohon perlindungan daripadaKu pasti Aku memberinya sebelum dia meminta. Dan barangsiapa ditimpa bencana, lalu dia meminta perlindungan kepada makhluk, pasti Ku tutup semua pintu langit baginya"

Wednesday, June 22, 2011

Jangan lupa asal usul kita


Selalu setiap kali bercuti di kampung, mak pasti akan ceritakan kisah anak si anu dan si anu dapat kerja yang bagus. Mak bapa si anu tadi dah hidup senang lenang. Kalau dulu hidup si anu miskin ditambah dengan adik beradik yang ramai. Sekarang mak bapa si anu dah mampu tersenyum bangga melihatkan kejayaan anak-anaknya. Saya tumpang bangga melihat perubahan hidup mereka. Walaupun saya tahu tujuan mak bercerita begitu adalah sebagai dorongan untuk kami adik beradik berjaya seperti mereka.

Namun saya kurang senang bila kejayaan mereka tersebut membuatkan mereka lupa asal usul mereka. Hendak di jadikan cerita, pernah sekali saya terserempak dengan seorang teman rapat di pusat membeli belah terkenal di Kota Kinabalu. Waktu itu dia baru habis berpantang melahirkan anak sulungnya. Boleh di katakan dia juga salah seorang "orang berjaya" dalam kampung saya. Setelah mendapat tawaran kerja dalam sektor kerajaan, dia pun berhijrah ke bandar di mana dia bertugas sekarang.

Saya sapa teman tu dengan salam sambil melemparkan senyuman. Kebetulan kami sama-sama berada di kaunter cashier menunggu giliran untuk membayar barang yang dibeli. Terasa teruja apabila dapat berjumpa dengannya . Maklum sahaja, dia antara teman saya yang paling rapat ketika zaman sekolah menengah dulu.

Dia membalas salam saya dengan wajah mencuka. Seperti kehairanan melihat wajah saya. Dalam fikiran,  mungkin dia dah tak cam muka saya. "Hah Su..kau pulak ni. Buat apa sekarang ni. Masih kerja di tempat dulu?", soalnya . Dengan jujur saya memberitahunya bahawa saya telah pun berhenti kerja dan berpindah mengikuti suami menetap di Papar. Mendengar jawapan saya lantas wajahnya bertukar sinis seolah-olah kurang senang dengan jawapan tadi. Mungkin pada fikirannya tindakan saya berhenti sebagai kakitangan kerajaan adalah satu tindakan bodoh. Tetapi hanya tuhan sahaja yang tahu kenapa saya mengambil keputusan meninggalkan kerjaya dalam sektor kerajaan. Dan rasanya saya lebih bahagia dengan dunia surirumah sepenuh masa yang saya lalui kini. Saya dapat melihat anak-anak membesar depan mata. Paling penting saya dapat bersatu dalam sebuah keluarga yang harmoni. Lebih membahagiakan lagi anak-anak kini semakin bijak.

Berbalik pada cerita teman tadi, selepas dari hari itu, setiap kali terserempak di kampung ketika musim cuti sekolah (kebetulan dia pun akan pulang bercuti di kampung), dia seakan-akan mahu menjauhkan diri dari saya. Terasa kerdilnya diri ini ketika itu. Siapalah saya dibandingkan dia.


Saya tahu dia sudah berubah. Perubahannya juga sangat drastik. Dari seorang gadis kampung yang ayu bertudung litup, sekarang dia tampil dengan imej seksi dan ranggi tanpa tudung di kepala. Seperti orang kampung terlebih bandar. Maaf kalau agak kasar bunyinya. Rasa-rasanya masih ramai lagi golongan miskin di luar sana berjaya sepertinya tetapi tidaklah sampai lupa diri.

Teruja Naik Keretapi

Cuti sekolah semester lepas baru sahaja berlalu. Tapi rasanya belum puas lagi bercuti di kampung. Teringat ketika mula-mula menaiki keretapi ketika pulang ke kampung. Memang teruja sangat mau berada dalam perut keretapi yang telah dipermodenkan. Apatah lagi ketika itu sedang hangat di lancarkan operasinya. Oleh kerana sedang hangat itu jugalah aku dan anak-anak sanggup berdiri kerana keretapi dah lebih muatan. Nak buat macam mana. Teruja punya pasal. Berdiri pun berdiri lah..Anak-anak pun tidak kisah. Tapi kesian juga melihatkan penumpang yang terdiri dari warga emas terpaksa ikut berdiri. Hingga terdengar2 juga bisik2 keluhan kerana dah terasa mau pitam. kesian bukan. Yang muda tu, dah dapat tempat duduk tu apalah salahnya bagi peluang yang tua untuk duduk. Tidak rugi apa pun. Dapat pahala lagi lah dik oii..Tapi rasa-rasanya aku lebih merindui keretapi versi lama (keretapi enjin diesel). Banyak sejarah ada di situ. Di situlah bapaku menyangkutkan ayunan pada rak besi yang berada kukuh di atas untuk membuai adikku yang masih kecil ketika pulang ke kampung. Disitu jugalah adikku menjenguk ke luar tingkap dan mula mengenal burung bangau yang terbang rendah atas tasik hingga tersasul memanggilnya itixx terabang. Lucu juga jika dikenang. Namun keretapi versi lama (berusia 40 tahun-menurut sumber Jabatan Keretapi Negeri Sabah) masih digunakan dilaluan Beaufort-Tenom dan menjadi keretapi berenjin diesel bersifat tunggal di Sabah malah di seluruh Borneo.