Assalammualaikum WBT...

Dalam hidup ini kita pasti ingin menjadi yang sempurna dalam segala aspek. Namun tidak semudah itu tanpa melalui pelbagai cabaran, ujian dan kekentalan semangat. Bahkan pasti ada kesilapan yang sering kita lakukan sebagai hambaNya biasa. Apapun jadikan kesilapan lalu sebagai pemangkin untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik. Sesekali pandanglah ke belakang, di samping luaskan pandangan ke hadapan, yakini diri, usaha dan tawakal..In Shaa Allah menjadikan kita berjaya. Redha setiap ketentuanNya menjadikan kita sentiasa berlapang dada.

Diinspirasikan juga blog ini dengan koleksi2 petikan facebook dan blog yang lain dengan info yang bermanfaat sekadar untuk rujukan diri sendiri...

Sunday, July 24, 2011

Semangat menimba ilmu


Seketika dulu saya pernah terbaca tentang kisah hidup seorang motivator terkenal tanah air yang latar hidupnya daripada keluarga miskin dan tinggal di luar bandar. Berkat keazaman yang kuat untuk berjaya dan merubah hidup nasib keluarga, dia menjadikan kemiskinan itu sebagai suatu cetusan dorongan positif dan bukan sebagai halangan. Siapa sangka dengan kemiskinan dan status anak kampung dia berjaya menjejakkan kaki melanjutkan pelajaran ke luar negara. Malah mendapat tajaan biasiswa daripada kerajaan Malaysia kerana kecemerlangannya.

Adakalanya kita terlepas pandang tentang betapa hebatnya pelajar luar bandar walaupun dalam keadaan mereka yang serba kekurangan dari segi prasarana, kewangan, kemudahan belajar dan keselesaan rumah. Tetapi adab dan semangat yang tinggi untuk maju menjadikan mereka lebih berusaha gigih. Cuma adakalanya semangat mereka mati disebabkan kemiskinan yang menghimpit walaupun mereka terdiri daripada pelajar yang celik pandai. Selain itu, ada juga yang terpaksa ponteng sekolah bukan kerana tidak berdisiplin tetapi kerana berkorban masa membantu ibu bapa mencari rezeki.

Saya masih ingat kisah pengalaman daripada seorang guru di sekolah lama dulu tentang bagaimana dia terpaksa meredah tanah lumpur tanpa berlapikkan kasut mahupun selipar untuk pergi ke sekolah. Bahkan untuk sampai ke sekolah memerlukan tiga jam perjalanan. Tetapi beliau tidak pernah menjadikannya sebagai halangan untuk berjaya.

Suka saya berkongsi pengalaman daripada kisah hidup bapa saya sendiri. Berasal dari sebuah keluarga yang miskin dan kehilangan ayahnya sejak masih bayi, bapa saya menjalani hidup bersama ibunya yang cekal membesarkan anak seramai empat orang dengan kudratnya sendiri mencari rezeki untuk mengalas perut anak-anak.

Pun begitu, kemiskinan tidak pernah menghalang bapa saya untuk berjaya. Pada ketika bapa saya dapat menyambung pelajaran ke peringkat menengah di Sabah College (sekarang Maktab Sabah), bapa saya berusaha mencari wang sendiri dengan mengambil upah mencuci baju rakan-rakan yang berkemampuan ketika itu bagi menampung kos sara diri di asrama dan pelajaran, di samping wang yang diperolehi dapat digunakan untuk membantu emaknya di kampung. Bahkan wang yang dikumpul hasil upah tersebut dapat digunakan untuk majlis perkahwinan kakaknya ketika itu. Terharu saya mendengar pengorbanannya sebagai pencari ilmu yang cekal. Walaupun bapa saya tidak dapat menjejakkan kaki ke menara gading kerana kemiskinan yang menghimpit ketika itu tetapi bapa saya adalah orang yang sangat berjaya dengan cabaran hidupnya. Itulah yang paling berharga.

Pujian juga seharusnya diberikan kepada pendidik (guru) yang sanggup berkorban masa, keluarga dan wang untuk melihat anak didik mereka berjaya. Ada guru yang sanggup menjadi penjual ikan kering dan basah sebagai pendapatan sampingan yang mana hasil jualan tersebut digunakan untuk membeli kemudahan dan buku-buku bagi membantu anak-anak didik yang kurang berkemampuan dan mengisi minyak kereta bagi membolehkannya mengambil dan menghantar anak-anak didiknya pergi ke tuisyen supaya mereka tidak perlu lagi berjalan kaki berbatu-batu jauhnya agar tidak terlepas masa mendapatkan ilmu.

Bahkan ada juga guru yang terpaksa berpisah dengan anak-anak dan isteri kerana ditempatkan bertugas di luar bandar. Lebih mencabar lagi apabila terpaksa meninggalkan isteri yang sarat mengandung atau mempunyai anak yang masih kecil. Apabila sekolah bercuti baharulah dapat peluang berjumpa dengan keluarga. Terlalu besar cabaran sebagai seorang guru.

Apapun guru dan pelajar sama-sama memainkan peranan penting bagi mewujudkan masyarakat luar bandar yang berintelektual, kreatif dan berinovasi.

**Ehsan idea  daripada Cikgu Azran Abd. Rahman, Sk Kemabung  Tenom,**

Friday, July 8, 2011

Betulkah ada pocong?


Selalu kalau ada orang yang meninggal kat kampung aku, malam harinya tiada siapa pun yang berani keluar lewat malam. Takut kena sampuk hantu pocong. Tapi orang kampung aku panggil pocong tu TUTUT.

"Isk! isk! isk!...betul ke Mat kau nampak tutut kat kebun getah tu...karung guni kot.."
"betul...kalau tak caya..hah kau pergilah lalu kat kebun tu tengah-tengah malam esok"
"isk..mengarut..siapa pula yang jadi tutut? takkanlah hj...ah! karut!"

Macam tu lah selalu..pocong yang menjelma tu selalu dikaitkan dengan orang yang baru meninggal. Kalau arwah tu masa hayatnya memang seorang yang lalai dengan urusan dunia, memang banyaklah fakta orang kampung yang akan dikaitkan si pocong. Tapi kalau arwah pula daripada orang yang warak, pasti banyak yang menyangkal. Tapi kalau masa tu pocong tetap menjelma pada masa si warak tadi meninggal, hah mulalah ada yang berfikiran negatif...buruk sangka...

Cerita pocong ni dari zaman nenek aku muda dulu lagi. Dah jadi macam cerita lagenda. Sampaikan kalau balik kampung, aku mesti nak tidur berhimpit-himpit dengan adik-adik. Takut pocong gigit kaki aku.

Mak aku kata, kalau pocong datang ke rumah, pukul pocong tu dengan penyapu lidi. Sebab pocong tu minta kena pukul untuk buang dosa-dosa dia pada keluarga. Aduh!..terbayang-bayang dalam kepala aku macam mana nak pukul pocong.

Yang tak masuk di akal aku lagi, ada pula kata pocong boleh datang ke rumah pada bulan ramadan untuk ikut bersahur. Nak tergelak aku dengar cerita ni...Orang curi makan kot..

Apa pun, sebenarnya itu semua kerja syaitan...Ketika jenazah dalam keadaan sakaratul maut pun syaitan dah berada di sisi, inikan pula ketika jenazah telah selamat dikebumikan. Syaitan tidak akan berhenti-henti memesongkan akidah anak-anak Adam. Semakin kita takut padanya (syaitan), semakin itulah dia (syaitan) akan berjaya menyesatkan kita. Takutlah kita pada Allah SWT, kerana takut padaNYa akan membuatkan kita lebih bertakwa dan mendapat lindungan daripadaNYa.

Seorang yang bertaqwa tidak susah untuk menutup pintu syaitan dan menjaganya. Adapun dia boleh jatuh ke jalan yang gelap adalah kerana mereka tidak mendapat petunjuk dan tidak boleh menjaganya. Kerana pintu syaitan menuju ke hati itu banyak, sedangkan pintu malaikat hanyalah satu.

Semoga kita sentiasa mendapatkan perlindungan Allah SWT dari tipu daya syaitan dan iblis. Sehingga kita termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk. Amin.