Assalammualaikum WBT...

Dalam hidup ini kita pasti ingin menjadi yang sempurna dalam segala aspek. Namun tidak semudah itu tanpa melalui pelbagai cabaran, ujian dan kekentalan semangat. Bahkan pasti ada kesilapan yang sering kita lakukan sebagai hambaNya biasa. Apapun jadikan kesilapan lalu sebagai pemangkin untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik. Sesekali pandanglah ke belakang, di samping luaskan pandangan ke hadapan, yakini diri, usaha dan tawakal..In Shaa Allah menjadikan kita berjaya. Redha setiap ketentuanNya menjadikan kita sentiasa berlapang dada.

Diinspirasikan juga blog ini dengan koleksi2 petikan facebook dan blog yang lain dengan info yang bermanfaat sekadar untuk rujukan diri sendiri...

Sunday, July 24, 2011

Semangat menimba ilmu


Seketika dulu saya pernah terbaca tentang kisah hidup seorang motivator terkenal tanah air yang latar hidupnya daripada keluarga miskin dan tinggal di luar bandar. Berkat keazaman yang kuat untuk berjaya dan merubah hidup nasib keluarga, dia menjadikan kemiskinan itu sebagai suatu cetusan dorongan positif dan bukan sebagai halangan. Siapa sangka dengan kemiskinan dan status anak kampung dia berjaya menjejakkan kaki melanjutkan pelajaran ke luar negara. Malah mendapat tajaan biasiswa daripada kerajaan Malaysia kerana kecemerlangannya.

Adakalanya kita terlepas pandang tentang betapa hebatnya pelajar luar bandar walaupun dalam keadaan mereka yang serba kekurangan dari segi prasarana, kewangan, kemudahan belajar dan keselesaan rumah. Tetapi adab dan semangat yang tinggi untuk maju menjadikan mereka lebih berusaha gigih. Cuma adakalanya semangat mereka mati disebabkan kemiskinan yang menghimpit walaupun mereka terdiri daripada pelajar yang celik pandai. Selain itu, ada juga yang terpaksa ponteng sekolah bukan kerana tidak berdisiplin tetapi kerana berkorban masa membantu ibu bapa mencari rezeki.

Saya masih ingat kisah pengalaman daripada seorang guru di sekolah lama dulu tentang bagaimana dia terpaksa meredah tanah lumpur tanpa berlapikkan kasut mahupun selipar untuk pergi ke sekolah. Bahkan untuk sampai ke sekolah memerlukan tiga jam perjalanan. Tetapi beliau tidak pernah menjadikannya sebagai halangan untuk berjaya.

Suka saya berkongsi pengalaman daripada kisah hidup bapa saya sendiri. Berasal dari sebuah keluarga yang miskin dan kehilangan ayahnya sejak masih bayi, bapa saya menjalani hidup bersama ibunya yang cekal membesarkan anak seramai empat orang dengan kudratnya sendiri mencari rezeki untuk mengalas perut anak-anak.

Pun begitu, kemiskinan tidak pernah menghalang bapa saya untuk berjaya. Pada ketika bapa saya dapat menyambung pelajaran ke peringkat menengah di Sabah College (sekarang Maktab Sabah), bapa saya berusaha mencari wang sendiri dengan mengambil upah mencuci baju rakan-rakan yang berkemampuan ketika itu bagi menampung kos sara diri di asrama dan pelajaran, di samping wang yang diperolehi dapat digunakan untuk membantu emaknya di kampung. Bahkan wang yang dikumpul hasil upah tersebut dapat digunakan untuk majlis perkahwinan kakaknya ketika itu. Terharu saya mendengar pengorbanannya sebagai pencari ilmu yang cekal. Walaupun bapa saya tidak dapat menjejakkan kaki ke menara gading kerana kemiskinan yang menghimpit ketika itu tetapi bapa saya adalah orang yang sangat berjaya dengan cabaran hidupnya. Itulah yang paling berharga.

Pujian juga seharusnya diberikan kepada pendidik (guru) yang sanggup berkorban masa, keluarga dan wang untuk melihat anak didik mereka berjaya. Ada guru yang sanggup menjadi penjual ikan kering dan basah sebagai pendapatan sampingan yang mana hasil jualan tersebut digunakan untuk membeli kemudahan dan buku-buku bagi membantu anak-anak didik yang kurang berkemampuan dan mengisi minyak kereta bagi membolehkannya mengambil dan menghantar anak-anak didiknya pergi ke tuisyen supaya mereka tidak perlu lagi berjalan kaki berbatu-batu jauhnya agar tidak terlepas masa mendapatkan ilmu.

Bahkan ada juga guru yang terpaksa berpisah dengan anak-anak dan isteri kerana ditempatkan bertugas di luar bandar. Lebih mencabar lagi apabila terpaksa meninggalkan isteri yang sarat mengandung atau mempunyai anak yang masih kecil. Apabila sekolah bercuti baharulah dapat peluang berjumpa dengan keluarga. Terlalu besar cabaran sebagai seorang guru.

Apapun guru dan pelajar sama-sama memainkan peranan penting bagi mewujudkan masyarakat luar bandar yang berintelektual, kreatif dan berinovasi.

**Ehsan idea  daripada Cikgu Azran Abd. Rahman, Sk Kemabung  Tenom,**

No comments:

Post a Comment