Assalammualaikum WBT...

Dalam hidup ini kita pasti ingin menjadi yang sempurna dalam segala aspek. Namun tidak semudah itu tanpa melalui pelbagai cabaran, ujian dan kekentalan semangat. Bahkan pasti ada kesilapan yang sering kita lakukan sebagai hambaNya biasa. Apapun jadikan kesilapan lalu sebagai pemangkin untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik. Sesekali pandanglah ke belakang, di samping luaskan pandangan ke hadapan, yakini diri, usaha dan tawakal..In Shaa Allah menjadikan kita berjaya. Redha setiap ketentuanNya menjadikan kita sentiasa berlapang dada.

Diinspirasikan juga blog ini dengan koleksi2 petikan facebook dan blog yang lain dengan info yang bermanfaat sekadar untuk rujukan diri sendiri...

Wednesday, June 22, 2011

Jangan lupa asal usul kita


Selalu setiap kali bercuti di kampung, mak pasti akan ceritakan kisah anak si anu dan si anu dapat kerja yang bagus. Mak bapa si anu tadi dah hidup senang lenang. Kalau dulu hidup si anu miskin ditambah dengan adik beradik yang ramai. Sekarang mak bapa si anu dah mampu tersenyum bangga melihatkan kejayaan anak-anaknya. Saya tumpang bangga melihat perubahan hidup mereka. Walaupun saya tahu tujuan mak bercerita begitu adalah sebagai dorongan untuk kami adik beradik berjaya seperti mereka.

Namun saya kurang senang bila kejayaan mereka tersebut membuatkan mereka lupa asal usul mereka. Hendak di jadikan cerita, pernah sekali saya terserempak dengan seorang teman rapat di pusat membeli belah terkenal di Kota Kinabalu. Waktu itu dia baru habis berpantang melahirkan anak sulungnya. Boleh di katakan dia juga salah seorang "orang berjaya" dalam kampung saya. Setelah mendapat tawaran kerja dalam sektor kerajaan, dia pun berhijrah ke bandar di mana dia bertugas sekarang.

Saya sapa teman tu dengan salam sambil melemparkan senyuman. Kebetulan kami sama-sama berada di kaunter cashier menunggu giliran untuk membayar barang yang dibeli. Terasa teruja apabila dapat berjumpa dengannya . Maklum sahaja, dia antara teman saya yang paling rapat ketika zaman sekolah menengah dulu.

Dia membalas salam saya dengan wajah mencuka. Seperti kehairanan melihat wajah saya. Dalam fikiran,  mungkin dia dah tak cam muka saya. "Hah Su..kau pulak ni. Buat apa sekarang ni. Masih kerja di tempat dulu?", soalnya . Dengan jujur saya memberitahunya bahawa saya telah pun berhenti kerja dan berpindah mengikuti suami menetap di Papar. Mendengar jawapan saya lantas wajahnya bertukar sinis seolah-olah kurang senang dengan jawapan tadi. Mungkin pada fikirannya tindakan saya berhenti sebagai kakitangan kerajaan adalah satu tindakan bodoh. Tetapi hanya tuhan sahaja yang tahu kenapa saya mengambil keputusan meninggalkan kerjaya dalam sektor kerajaan. Dan rasanya saya lebih bahagia dengan dunia surirumah sepenuh masa yang saya lalui kini. Saya dapat melihat anak-anak membesar depan mata. Paling penting saya dapat bersatu dalam sebuah keluarga yang harmoni. Lebih membahagiakan lagi anak-anak kini semakin bijak.

Berbalik pada cerita teman tadi, selepas dari hari itu, setiap kali terserempak di kampung ketika musim cuti sekolah (kebetulan dia pun akan pulang bercuti di kampung), dia seakan-akan mahu menjauhkan diri dari saya. Terasa kerdilnya diri ini ketika itu. Siapalah saya dibandingkan dia.


Saya tahu dia sudah berubah. Perubahannya juga sangat drastik. Dari seorang gadis kampung yang ayu bertudung litup, sekarang dia tampil dengan imej seksi dan ranggi tanpa tudung di kepala. Seperti orang kampung terlebih bandar. Maaf kalau agak kasar bunyinya. Rasa-rasanya masih ramai lagi golongan miskin di luar sana berjaya sepertinya tetapi tidaklah sampai lupa diri.

No comments:

Post a Comment